BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, July 20, 2012

KHUTBAH JUMAAT - PERSEDIAAN MENYAMBUT RAMADHAN

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dan pada di akhir bulan Syaaban yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “PERSEDIAN MENYAMBUT RAMADHAN ”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Kita berada pada hari terakhir bulan Syaaban. Esok insyallah kita akan menyambut awal Ramadhan. Dalam sedar ataupun tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan, keberkatan dan kerahmatan . Bulan yang mulia ini merupakan masa gembira kepada orang yang beriman kerana pada setiap saat dilimpahkan pahala yang berganda-ganda melebihi ganjaran yang biasa. Hari-hari dalam bulan Ramadhan adalah hari penuh ganjaran, malam-malamnya adalah malam yang penuh dengan keberkatan. Setiap saat adalah peluang-peluang yang paling utama untuk menyucikan diri dan mendapat pahala daripada Allah SWT. Apabila datangnya bulan yang mulia ini maka Rasulullah SAW berdoa sebagai tanda kegembiraannya untuk menyambut Ramadhan . Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “ Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan. (Riwayat. Ahmad dan Tabrani)

Diriwayatkan juga dari Abu Hurairah RA: Bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW. pernah bersabda: Ketika datang bulan Ramadhan: Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, Syaitan-Syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilanya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya ( tidak beramal baik didalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini).
( Riwayat: Imam Ahmad )
Kelebihan bulan Ramadhan daripada bulan- bulan yang lain kerana difardhu padanya ibadah puasa. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183,
Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”.

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sebenarnya terlalu banyak persediaan yang patut kita lakukan menjelang Ramadhan. Antaranya ialah: Pertama: Persediaan ilmu agama. Ramai orang yang berpuasa tanpa ilmu di dada, di khuatiri ibadah yang diharapkan mendapat pahala sebaliknya tidak diterima. Menjelang Ramadhan, kita diseru meluangkan masa menuntut ilmu agama. Sama ada dengan cara membaca buku, menghadiri kuliah-kuliah agama atau media massa. Perkara yang perlu diberi keutamaan ialah berkaitan dengan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, adab dan juga akhlak orang berpuasa. Hal ini begitu penting untuk mendapat kesempurnaan ibadah puasa.
Kedua: Persediaan kesihatan. Kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa. Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan Ramadhanlah tubuh badan dikerah bekerja kuat melaksanakan segala amalan seperti solat sunat tarawih, qiamullail, membaca al-Quran, iktikaf dan sebagainya.Ketiga: Persediaan dari sudut kewangan. Di antaranya ialah dengan bersedekah. Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling suka bersedekah dan dermawan serta Baginda lebih dermawan di dalam bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas RA: “Rasulullah SAW ialah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan di saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al- Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (Riwayat al-Bukhari)
Keempat: Memperbanyakkan menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadhan. Kita dituntut memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadhan. Perkara ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita bagi membuat persediaan bertemu Ramadhan. Bukankah sesuatu acara itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika senantiasa diwar-warkan. Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak disebut-sebut kemulian dan ganjarannya oleh media massa, media elektronik dan seluruh umat Islam.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Kita adalah makhluk ciptaan Allah yang tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan sama ada dosa besar atau kecil. Sebagai makluk ciptaan-Nya, maka Allah SWT Maha mengetahui cara dan kaedah yang sesuai untuk membaiki, membaik pulih dan mempertingkatkan iman dan akhlak manusia. Selari dengan kelemahan makhluk-Nya itu, maka Allah menawarkan kepada umat Islam bulan Ramadhan dengan keampunan dan pahala yang berganda serta mengembalikan fitrah akhlak manusia. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu”(Riwayat Bukhari)

Oleh itu, menjelang Ramadhan ini, para jemaah sekalian diseru memberi tumpuan kepada tawaran daripada Allah SWT, bukannya terpengaruh dengan promosi-promosi produk dan barangan- barangan tertentu yang dikaitkan dengan Ramadhan. Ibadah Puasa yang dilakukan dengan sempurna mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa menjadi lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertakwa kepada Allah SWT. Ketika berpuasa kita bukan sahaja menahan diri dari keinginan makan dan minum malahan segala nafsu seluruh anggota badan kita seperti mulut, mata, hati dan kemaluan juga hendaklah turut berpuasa. Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah dan bertaubat di atas dosa-dosa yang dilakukan dengan mengisi ruang-ruang yang ada bagi meningkatkan keimanan kepada Allah SWT didalam usaha mencari keredhaannya. Firman Allah SWT di dalam surah an-Nuur ayat 31:
Maksudnya: “ dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mimbar menyeru, marilah kita sama-sama membuat persedian dengan sebaiknya untuk bertemu dengan Ramadhan pada kali ini. Ambillah kesempatan dengan apa yang telah dijanjikan oleh Allah SWT sepanjang bulan Ramadhan dengan menjana kekuatan jati diri kita untuk beribadat kepada-Nya. Bulan impian ini merupakan anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang hanya datang setahun sekali. Penuhilah ruang dan masa dengan melakukan perkara-perkara yang membawa kebaikan kerana mungkin bagi tahun yang mendatang kita tidak merasainya lagi. Mimbar juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak kepimpinan negara khususnya kepada YAB Perdana Menteri di atas sumbangan kepada masjid dan surau di seluruh negara bersempena dengan Majlis Perhimpunan Perdana Warga Iman dan Jawatankuasa Masjid Seluruh Negara pada 19 Julai 2012. Semoga dengan sumbangan ini akan mengimarahkan lagi masjid dan surau di dalam bulan Ramadhan ini. Mengakhiri khutbah marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97:
Maksudnya: “ Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan”.

0 comments: